CLS Press Statement: Distorted, Misinterpreted Out-of-Context Video And Attacks Against Archbishop on “Hud-Hud Crew” Facebook Page

Pertubuhan Peguam-peguam Katolik Kuala Lumpur (“CLS") memandang amat serius dan penuh kekecewaan insiden penyiaran suatu video pada "Hud-Hud Crew" halaman Facebook yang bertajuk "Rahsia Besar: Rakaman Perancangan 25 Tahun Archbishop Katolik Kuala Lumpur untuk "Rebus Orang Islam Seperli Merebus Katak" serta komen-komen yang mengandungi unsur-unsur serangan dan hasutan yang langsung tidak boleh diterima dalam masyarakat negara Malaysia kita ini yang berbilang bangsa, agama dan yang menghargai keamanan serta keharmonian.

CLS menegaskan bahawa suatu ucapan Bapa Uskup Gereja Katolik bagi Keuskupan Kuala lumpur Julian Leow Beng Kim pada tahun 2014 telah disalah-tafsir secara petikan luar konteks dalam halaman Facebook tersebut dan ini bakal mengakibatkan salah-faham di kalangan masyarakat Muslim yang hakikatnya selama ini dihormati dan dikasihi oleh komuniti Katolik dan Kristian. Perbuatan pihak-pihak yang amat tidak bertanggungjawab dan memudaratkan tersebut telah menimbulkan ancaman dan kebahayaan kepada perpaduan masyarakat majmuk kita dan ianya amat dikesali kerana telah ditimbulkan semasa Bulan Ramadan yang amat suci bagi saudara-saudari Muslim kami. lebih-Iebih lagi perbuatan-perbuatan demikian amatlah tidak diingini dan patut dijauhi terutamanya pada waktu ini di mana kerajaan kita sedang bergelut dengan pandemic Covid-19 dan pembaikian ekonomi.

CLS sesungguhnya menolak segala unsur-unsur kebencian dan keganasan yang ditujukan terhadap mana-mana individu berdasarkan bangsa atau agama dan menegaskan bahawa hak-hak serta maruah setiap insan sepatutnya dilindungi dan dipertahankan di bawah Undang-undang dan Perlembagaan negara tercinta ini. CLS dengan ikhlasnya berharap semua pihak boleh melibatkan diri dalam mempromosikan kerjasama antara agama-agama untuk menangani sebarang isu yang mungkin mengakibatkan apa-apa konflik di negara ini.

Bagi mempertahankan nama baik Gereja Katolik di Malaysia dan demi perlindungan terhadap Bapa Uskup Julian Leow, CLS menyeru pihak-pihak berkuasa yang berkenaan supaya segera menyiasat video tersebut yang disiarkan dalam Facebook atau mana-mana media sosial dan pihak-pihak yang memiliki halaman facebook tersebut serta yang telah memberikan pernyataan-pernyataan hinaan dan hasutan tersebut, dengan berasaskan peruntukan-peruntukan undang-undang sedia ada bagi hasutan, ugutan jenayah serta fitnah jenayah.

Godfrey Thomas Fernandez

Presiden
Pertubuhan Peguam-Peguam Katolik Kuala Lumpur

Recent News

1 year 16 weeks ago
3 years 34 weeks ago